top of page

PEMAKANAN IBU HAMIL ANAEMIA

Updated: Apr 27, 2023


Anemia semasa hamil. Apa yang perlu anda lakukan?


Tahukah anda, hampir 50% wanita hamil di Malaysia mengalami masalah anemia semasa hamil.


Anemia ialah keadaan apabila wanita hamil mempunyai bacaan paras hemoglobin kurang dari 11 g/dL. Hemoglobin pula ialah komponen penting di dalam sel darah merah untuk membekalkan oksigen ke seluruh badan termasuk bayi di dalam kandungan.


Anemia semasa hamil boleh menyebabkan seseorang wanita itu menjadi penat, sakit kepala dan pitam. Malah, ia turut boleh mengganggu tumbesaran bayi di dalam kandungan dan berisiko untuk kelahiran pra-matang sebelum 37 minggu. Oleh itu, wanita hamil perlu berusaha untuk memastikan bacaan hemoglobin mereka mencukupi sepanjang kehamilan.



Kekurangan zat besi merupakan punca utama anemia semasa hamil.


Ada banyak sebab atau faktor kenapa sesorang wanita hamil boleh mengalami anemia. Namun, faktor paling kerap berlaku ialah kerana kekurangan zat besi semasa kehamilan.


Zat besi merupakan komponen penting untuk penghasilan hemoglobin serta sel darah merah yang sihat dan hanya boleh didapati melalui pemakanan. Oleh sebab itu, wanita hamil amat digalakkan mengambil makanan sihat yang tinggi kandungan zat besi sepanjang kehamilan.



Makanan tinggi zat besi yang digalakkan untuk masalah anemia.


Berikut adalah panduan umum pemakanan bagi wanita hamil yang mengalami anemia akibat kekurangan zat besi:



1. Makanan berdaging dan telur.


Makanan berdaging dan telur mengandungi zat besi yang mudah dihadam oleh tubuh badan. Badan manusia boleh menyerap sehingga 30% zat besi yang terkandung di dalam makanan berdaging. Contoh makanan berdaging yang di sarankan ialah:

  • Daging lembu/ ayam/ kambing/ ikan

  • Kerang

  • Udang

  • Telur

2. Sayur-sayuran, buah-buahan serta kekacang.


Makanan dalam kumpulan ini juga mengandungi zat besi. Walaupun zat besi dari sumber ini lebih sukar dihadam oleh tubuh manusia, ia turut mengandungi zat lain seperti vitamin B9 (folate) yang turut diperlukan untuk penghasilan hemoglobin. Makanan ini juga mengandungi vitamin C yang bagus untuk membantu penyerapan zat besi yang lebih efektif. Contoh makanan yang disarankan adalah:

  • Sayuran hijau seperti brokoli, bayam, kangkung, kacang panjang, kubis

  • Tomato, cendawan butang

  • Keledek, kentang, labu

  • Jambu, tembikai, pisang, mangga, betik, buah oren dan pelbagai buah-buahan lain

  • Kacang kuda, gajus, kacang pis, kacang merah


3.Makanan tambahan

Makanan tambahan atau supplement yang mempunyai zat besi yang tinggi akan disarankan oleh doktor. Setiap supplement yang terdapat di pasaran mempunyai kandungan zat besi yang berbeza-beza. Anda perlu meminta nasihat dari doktor untuk dapatkan supplement yang sesuai dengan anda.


Makanan yang boleh mengganggu penyerapan zat besi


Jika vitamin C adalah bagus untuk membantu penyerapan zat besi, terdapat juga makanan lain yang boleh mengganggu penyerapan zat besi jika diambil dalam jangka masa yang sama. Antara makanan yang boleh menggangu penyerapan zat besi adalah:


  • Teh dan kopi

  • Susu dan produk tenusu seperti keju dan yogurt

  • Makanan berasaskan kacang soya

  • Coklat

  • Buah anggur, jagung dan buah beri


Makanan di atas masih mempunyai zat yang bagus yang perlu diambil. Namun, adalah disarankan pengambilan makanan di atas perlu dijarakkan 1 atau 2 jam sebelum atau selepas mengambil makanan tinggi zat besi untuk memastikan badan anda dapat menyerap zat besi dengan baik.


Panduan yang diberikan adalah sebagai panduan umum sahaja. Setiap wanita hamil yang mengalami masalah anemia mempunyai punca dan faktor yang berbeza. Dapatkan nasihat dari doktor dan pakar pemakanan untuk menentukan rawatan atau panduan yang terbaik untuk anda.



Adakah artikel ini membantu anda memahami tentang cara "pemakanan ibu hamil anaemia" ?

  • Ya

  • Tidak

You can vote for more than one answer.









851 views0 comments

Comments


bottom of page