top of page
Writer's pictureKlinik Radia Bukit Jelutong

Vaksinasi untuk Jemaah Haji & Umrah

Updated: Apr 20

Setiap umat Islam mendambakan peluang untuk menunaikan haji yang secara amnya, hanya datang sekali seumur hidup. Oleh itu, apabila mendapat peluang untuk menunaikan rukun Islam yang terakhir ini, haruslah kita membuat persiapan yang terbaik supaya dapat beribadah dengan lebih mudah dan tenang di sana nanti. Antara persiapan yang perlu dilakukan oleh para jemaah haji sebelum berangkat ke tanah suci Mekah ialah mengambil vaksin haji. Ada beberapa jenis vaksin yang disediakan untuk jemaah haji iaitu vaksin wajib meningococcal dan vaksin-vaksin tambahan yang disarankan yakni vaksin pneumococcal dan influenza.


  • Vaksin Meningococcal

Vaksin ini adalah vaksin yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi ke atas semua para jemaah seluruh dunia. Vaksin meningococcal ini berfungsi sebagai pencegah untuk penyakit meningococcal, sejenis penyakit yang disebabkan oleh bakteria Nisseria meningitidis. Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan radang yang teruk pada selaput otak dan saraf tunjang serta boleh membawa maut, terutama kepada golongan yang berisiko tinggi. Vaksin meningococcal perlu diambil tidak kurang dari 10 hari sebelum berangkat ke tanah suci Mekah dan perlindungan vaksin ini boleh bertahan selama 5 tahun.


  • Vaksin Pneumococcal

Vaksin ini pula adalah vaksin tambahan untuk para jemaah haji terutama yang berisiko tinggi. Vaksin ini berfungsi untuk mencegah penyakit pneumococcal, iaitu yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Ia boleh menyebabkan jangkitan yang teruk pada hidung, telinga, paru-paru, darah dan selaput otak. Penyakit ini ialah penyakit yang paling kerap berlaku dikalangan para jemaah atas faktor kesesakan dan kedudukan yang rapat semasa menunaikan haji. Ia juga merupakan faktor utama para jemaah dimasukkan ke hospital terutama sebelum atau selepas wukuf di Arafah. Vaksin ini boleh memberi perlindungan terhadap penyakit pneumococcal sehingga 5 tahun.


  • Vaksin Influenza

Influenza juga ialah satu jenis jangkitan yang kerap berlaku semasa menunaikan haji kerana ia disebabkan oleh virus Influenza yang sangat mudah untuk merebak. Ia boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang teruk dikalangan para jemaah terutama pada golongan berisiko tinggi. Pengambilan vaksin ini perlu diambil sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum berlepas ke tanah suci Mekah untuk menjamin perlindungan terhadap penyakit influenza. Perlindungan mampu bertahan selama 1 tahun selepas suntikan.


Seperti yang telah dinyatakan, menunaikan haji ialah dambaan semua umat islam. Setiap tahun, jutaan umat Islam dari serata dunia akan berkumpul di Mekah dalam keadaan yang bersesak-sesakan. Maka, para jemaah terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti berumur lebih 60 tahun, mempunyai penyakit seperti kencing manis, asma, masalah paru-paru atau masalah kesihatan yang lain, perlulah mengambil vaksin-vaksin yang dinyatakan di atas sebagai langkah berjaga-jaga. Adalah menjadi kerugian sekiranya para jemaah tidak dapat menghabiskan rukun haji kerana jatuh sakit mahupun meninggal dunia kerana tidak melakukan persediaan kesihatan yang sewajarnya.


Cegahlah sebelum terlambat.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.




Hajj & Umrah Vaccination
Vaksinasi untuk Haji & Umrah


















8,476 views0 comments

Comments


bottom of page